Salam Ukhuwwah
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah kurnia daripada-Nya dapat kita meneruskan perjalanan hidup kita bersama dengan nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan islam. Selawat dan salam keatas Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan istiqamahnya baginda dalam usaha menyebarkan risalah Allah, maka kita hari ini dapat lagi mengecapi cahaya agama Islam. Alhamdulillah...
Sekalung ucapan taniah diucapkan kepada seluruh warga SAR KAFA Integrasi Ibnu Sina diatas usaha, komitmen dan kesungguhan anda sehingga terciptanya blog ini sebagai saluran informasi khususnya kepada ibubapa dan penjaga anak-anak KAFA Ibnu Sina. Diharap dengan usaha ini dapat memberi satu saluran informasi yang tepat kepada semua demi memantapkan tahap pengurusan Sar Kafa Integrasi Ibnu Sina kearah sebuah organisasi yang lebih mantap dan terunggul.
Tuan/Puan yang dirahmati Allah sekalian..
“MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA “. Satu ungkapan yang sentiasa kita dengar, tetapi sedar tidak sedar, itulah tugas kita sekarang, mendidik generasi baru islam demi membawa syiar islam dimuka bumi ini. Tetapi malangnya kita leka dan alpa dalam memberi pendidikan yang terbaik untuk mereka. Adakah kita semua lupa tentang impian untuk kita memiliki anak-anak seperti yang dipaparkan dalam sejarah islam terdahulu? Hebat bukan sahaja disegi ilmu ukhrawi tetapi juga ilmu duniawi.
Tuan/Puan yang dirahmati Allah sekalian…
Saban hari anak-anak kita persiapkan ke sekolah untuk belajar. Seawal usia lima atau enam tahun, mereka sudah dihantar ke tadika demi memastikan pembelajaran yang terbaik untuk mereka. Keghairahan begini bukanlah tidak baik, tetapi jangan sampai kita kurang memberi perhatian kepada pengisian agama. Kita sebagai khalifah dimuka bumi ini, kita sebenarnya perlu mengetahui bahawa pentingnya ILMU AGAMA itu sebagai panduan untuk kita dihari muka. Tetapi sedihnya hari ini kita dapat lihat bahawa ILMU AGAMA itu tidak lagi didahulukan, sebaliknya kita alpa melebihkan kepada ilmu akademik atau dunia semata-mata dengan harapan mereka menjadi orang yang berjaya.
Tuan/Puan yang dirahmati Allah sekalian…
Tiada salahnya kita mahukan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Itulah yang kita mahu, kita ingini malah kita syukuri. Tetapi apa gunanya mereka seorang doktor, arkitek, sasterawan, professor, tetapi dalam masa yang sama mengabaikan kita (ibubapa) dihari tua kita. Pada masa itu, siapa yang perlu kita salahkan? Mereka ataupun kita? Oleh itu, kita utamakan Pembelajaran AGAMA, insyallah semua akan ikut serta dan mereka tergolong dalam orang-orang yang Berjaya.
Tuan/Puan yang dirahmati Allah sekalian…
Dimanakah silapnya?? Bukan itu yang perlu kita persoalkan, Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri bagi membetulkan keadaan tanpa menyalahkan orang lain. Sebelum anak-anak menempuh alam kehidupan diluar yang penuh dugaan, persiapkan diri mereka dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifahNya. Akhir sekali, kepada semua IBUBAPA GURU DAN PELAJAR marilah kita berganding bahu, kita bersatu bersama-sama membantu meningkatkan SAR KAFA INTEGRASI IBNU SINA ini demi kepentingan kita semua.
Sekian…
Biar tak sama, tapi boleh bersama..
Biar tak setuju, tapi tetap bersatu..
Biar tak setuju, tapi tetap bersatu..
(Ustaz Mohd Nizam Baharin)
Ketua Guru,
Sar Kafa Integrasi Ibnu Sina